06 Mac 2010

KESAN ; SILAP BICARA





Amalan fitnah menfitnah, memburukkan orang lain, menghina, mengejek,,mengumpat, berbohong dan sebagainya memberi kesan negatif kepada kejiwaan para pelaku dan penerima. Bagi pelaku, amalan tersebut akan menanamkan sifat yang dicela seperti sombong, riak, dengki dan khianat. Seseorang yang memiliki sifat-sifat tercela seperti
ini sudah semestinya tidak akan dapat menjadi contoh yang baik kepada orang lain sedangkan Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:

'Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang melakukan kejahatan... '
(Surah Ali-Imran : 110)


Sifat tersebut yang merupakan warisan sifat-sifat Iblis laknatullah tidak selayaknya dimiliki apatah lagi disemai dalam diri seseorang yang bergelar muslim. Dr. Abdul Karim Zaidan menyifatkan sifat-sifat ini sebagai sifat-sifat orang munafik. Bagi yang menjadi mangsa fitnah, ejekan, penghinaan dan sebagainya akan mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental. Pertuturan berupa fitnah, umpat, dusta dan sebagainya yang berterusan akan memanjang dan memberatkan lagi beban tekanan kejiwaan yang terpaksa ditanggung oleh si mangsa. Ini seterusnya mengganggu konsentrasi penerima dalam melaksanakan tanggung- jawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

Gangguan seperti ini sememangnya tidak dikehendaki oleh Islam iaitu agama yang memberi rahmat dan kesejahteraan kepada sekalian manusia. Keunggulan Islam bukan hanya dari sudut aqidah, ibadat, syariat dan muamalat sesama manusia sahaja bahkan menjamin ketenangan dan kedamaian kepada jiwa insan itu sendiri. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan ‘rahmat' dalam firman Allah:

Maksudnya:

'Tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam'
(Surah al-Anbiya': 107)


Menggagalkan

Pertuturan yang penuh dengan lafaz-lafaz penghinaan,pendustaan, ejekan, fitnah, mengadu domba, kejian dan sebagainya bukan sahaja mencacatkan usaha dakwah yang dijalankan bahkan menggagalkannya sama sekali. Islam sama sekali tidak pernah merestui amalan sedemikian kerana prinsip Islam ialah sesuatu yang baik itu mesti dicapai dengan cara yang baik juga. Kaedah usul fiqh ada menyebut: 'Matlamat tidak menghalalkan cara.'Di samping itu, Allah S.W.T. mengajarkan kita supaya melakukan dakwah, secara hikmah. Hikmah yang dimaksudkan ialah bijaksana dalam memilih kaedah dan pendekatan sama ada dari segi tutur kata, perbuatan,akhlak dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:


'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik..
(Surah an-Nahl : 125)

Menggunakan pendekatan dakwah yang lain daripada Islam khususnya dari segi pertuturan akan menjauhkan lagi manusia dari cahaya kebenaran Islam. Inilah yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T.:

maksudnya:

'...Sekiranya kamu bersikap keras lagi berkasar tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekeliling mu…'
(Surah Ali-Imran : 159)


Imej Islam

Seseorang muslim yang membiasakan diri melafazkan kata-kata yang penuh dengan unsur-unsur fitnah, penghinaan, keji, kotor, dusta dan sebagainya akan memberi kesan yang buruk kepada kemuliaan dan keagungan agama Islam. lmej Islam akan terpalit lantas disalah anggap sebagai satu-satunya agama yang merestui segala pertuturan yang jahat dan kotor yang lazimnya tidak diterima oleh fitrah dan akal manusia. Seseorang yang mengamalkan sifat sedemikian bukan sahaja menyalahi adab kesopanan malah mencemar kesucian agama Islam. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa mereka telah mengkhianati perjuangan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat dan seluruh pejuang Islam yang terdahulu yang telah memertabatkan kesucian agama Islam tanpa mengenepikan sedikitpun adab-adab yang dibenarkan oleh Islam.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

'Jika mereka berangkat bersama~sama kamu nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka dan tentu mereka akan bergegas-gegas maju ke hadapan di celah~celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan antaramu sedang antara kamu ada orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang yang zalim. '
(Surah at-Taubah : 47)


Perpaduan Ummah

Masyarakat yang hidup dalam suasana fitnah menfitnah, bergelumang dengan kata nista, berbudaya hina menghina dan keji mengeji adalah masyarakat yang tidak bersatu padu, tiada persefahaman dan pencetus kepada perpecahan. Islam merupakan agama keamanan, kedamaian, keharmonian dan perpaduan telah menetapkan garis panduan yang jelas dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Antara garis panduan tersebut ialah melarang sebarang pertuturan yang berunsur fitnah, dengki, penghinaan, dusta dan kotor yang boleh membawa kepada pertengkaran sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

'Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur saudaranya lebih daripada tiga hari.'
(Riwayat al-Bukhari)


Ketegasan Islam dalam mempastikan perpaduan wujud dalam masyarakat dikuatkan lagi dengan mengenakan hukuman tertentu kepada mereka yang mencetuskan perpecahan atau perselisihan khasnya melalui pertuturan atau percakapan. Antara hukuman tersebut hukuman sebat 80 kali ke atas mereka yang menuduh isterinya atau orang yang beriman melakukan zina tanpa sebarang saksi dan bukti dan juga hukuman takzir ke atas mereka yang melakukan penipuan, saksi palsu, menfitnah, menganggu wanita di jalanan dan sebagainya. Pendek kata,kesungguhan Islam dalam melahirkan umat Islam yang hidup bersatu padu bukan setakat seruan semata-mata malah diikuti dengan penetapan undang-undang dan hukuman bagi menjamin terlaksana dengan jayanya.

Oleh itu, mereka yang memecahbelahkan perpaduan masyarakat Islam melalui percakapan berbau fitnah,dengki, jahat dan keji bukan sahaja menentang kesatuan dan perpaduan umat Islam malah menentang ajaran yang dianjurkan Islam itu sendiri yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Menggugat Ummah

Berleluasanya budaya fitnah memfitnah, caci mencaci, penipuan, tuduh menuduh dan sebagainya dalam masyarakat Islam akan menggugat kekuatan ummah terutama dalam menghadapi ancaman pihak musuh Islam.Pertelingkahan dan perpecahan yang wujud hasil daripada pertuturan yang ditegah oleh Islam ini sememangnya dinanti-nantikan oleh musuh Islam yang sentiasa menunggu peluang memporakperandakan kesatuan dan kekuatan umat Islam. Ini seterusnya membuka peluang kepada mereka memperkotak-katikkan umat Islam mengikut telunjuk mereka sehingga hilang segala kemegahan dan kemuliaan budi lalu bertukar kepada kehinaan dan kemunduran dalam pelbagai bidang kehidupan.

Umat Islam tidak mungkin dapat menghadapi musuh- musuh Islam yang sentiasa berganding bahu setiap kali berhadapan dengan umat Islam selagi wujud anasir-anasir yang memecahbelahkan kesatuan dan kekuatan umat terutama melalui pertuturan yang menyalahi ajaran Islam. Menjauhi amalan-amalan sedemikian sangat penting dan amat terdesak dalam persediaan umat Islam menghadapi musuh Islam yang semakin canggih, bersatu padu dan bijak.

Kesimpulan

Kebolehan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Setiap perbicaraan adalah hasil luahan daripada hati seseorang yang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya.

Islam telah menggariskan tatacara adab bicara. Antaranya tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling salah menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mencarut, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk,mengumpat hingga mengaibkan sesama Islam.

Dalam berkarya, seseorang hendaklah menghasilkan karya-karya yang membina serta dapat menegakkan peradaban masyarakat. Sebaliknya, bukan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan menyindir,mencela dan menghina pihak-pihak yang tertentu.

Islam juga meminta umatnya mengawal diri dalam mengadakan perbincangan dan perdebatan dan setiap pandangan yang benar hendaklah diterima dan dihormati. Sebaliknya, jika pandangan itu salah hendaklah diperbetul dan ditegur secara baik. Bukannya saling cabar mencabar dan bertikam lidah hingga membawa kepada pertengkaran yang tidak berkesudahan serta tanpa menghasilkan apa-apa keputusan.

Islam telah menentukan kaedah dalam pertuturan iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan, mengungkapkan percakapan dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka mendapat perhatian dan menarik pendengarnya. Kejahilan menggunakan kaedah berhikmah menyebabkan penyakit-penyakit masyarakat sukar dibasmi dan dihapuskan. Malah, akan meletakkan masyarakat dalam keadaan tidak mengerti dari memahami peradaban Islam sebenarnya.

Amalan menfitnah, memburuk-burukkan orang lain,menghina, mengejek dan mencarut akan memberi kesan negatif kepada kejiwaan pelaku dan penerima. Ini merupakan warisan sifat-sifat iblis dan tidak layak dimiliki oleh seseorang yang bergelar muslim. Amalan ini juga mencacatkan usaha-usaha dakwah malah menggagalkannya sama sekali. Seseorang muslim yang selalu mengamalkan sifat-sifat demikian bukan sahaja berdosa malah mencemar kesucian agama Islam serta akan melahirkan umat Islam yang tidak bersatupadu dan berpecah belah.

*Teks khutbah Jumaat oleh Ketua Pengarah,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia disampaikan di Masjid Negara pada 7 Mei 1999

0 ulasan:

Catat Ulasan

aku harap, sape2 nak bagi komen 2 bagi komen yg beradab k..cz aku xsuka org yg biadap.

Related Posts with Thumbnails

renungan bersama...

kata hikmah sayyidina abu bakar as-siddiq RA


Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, iaitu:
· Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya.
· Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim.
· Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula.
· Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

kata hikmah sayyidina umar al-khattab ra


· Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
· Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
· Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
· Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

kata hikmah sayyidina usman ibnu affan ra

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
· Hatinya selalu berniat suci
· Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
· Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
· Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
· Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

kata hikmah sayyidina ali karamullah hu wajhah ra


· Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.
· Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.
· Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.
· Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifatwarak (memelihara diri dan hati- hati dari dosa).
· Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

· Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.
· Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
· Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.