04 Mac 2010

BERTUTUR SECARA HIKMAH





Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Allah S.W.T. memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya bercakap dengan
cara yang paling lembut.

Firman AllaLh S.W.T:

Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.'
(surah Ali-Imran : 159)


AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...'
(Surah Fussilat : 34)


Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah, berkarya malah dalam apa jua tindakan kita.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:

Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan…'
(Surah Muhammad : 19)


Firman Allah S.W.T. lagi:

Maksudnya:

Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.'
(Surah al-Muddaththir: 1-4)


Allah S.W.T. juga berfirman:

Maksudnya:

'...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya.
(Surah Ali-Imran : 79)


Sejak kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa.

Teguran itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih bermanfaat bagi umat Islam.

AI-Quran sering menyindir golongan seperti ini lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur masyarakat.

Antaranya seperti firman Allah:

Maksudnya:

'Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'
(Surah al-Araf : 187)


Maksudnya:
'...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.'
(Surah Hud : 17)


Maksudnya:
'..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr: 176)


Maksudnya:
'...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr :21)


Dalam erti kata lain sindiran al-Qur'an ini merujuk kepada sikap kebanyakan manusia yang tidak tahu mengambil pengajaran, tidak menggunakan akal fikiran yang murni, tidak mengamalkan kesyukuran, kurang beriman seterusnya sering bersikap zalim dan jahil dalam memahami aspek kehidupannya.Kesedaran seseorang mukmin sewajarnya sedar bahawa ia perlu menghalakan setiap aspek kehidupannya kepada Allah serta berpandukan al-Qur'an dan as-Sunnah. Sekiranya dia merasai al-Qur'an perlu dijadikan panduan sudah tentu ia akan dapat menjamin pembentukan jiwa,pendidikan hati serta membersihkan akhlak dan tingkah lakunya. Melalui kesedaran inilah mereka akan dapat membasmi keburukan dalam sesuatu masyarakat yang membawa kepada pergolakan, perselisihan serta mengancam kekuatannya. Hubungan yang tidak putus ini akan dapat membersihkan hati dan perasaan dengki serta permusuhan.Selain daripada itu, banyak lagi ayat al-Qur'an yang menitikberatkan akhlak serta tata susila sebagai satu ibadat yang difardhukan sama seperti ibadat fardhu yang lain. Ini adalah penyelarasan budi pekerti dengan kaedah al-Qur'an yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam kini.AI-Quran sangat menggalakkan seseorang supaya bersifat yang boleh melindungi masyarakat, membersihkan perasaan serta mewujudkan persaudaraan serta perasaan belas kasihan.AI-Quran juga sangat memberi ingatan supaya jangan terlintas sedikit pun untuk mencetuskan keburukan dalam masyarakat.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

Sesungguhnya orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)'.
(Surah an-Nur: 19)


Sekiranya kita perhatikan umat Islam terdahulu, kita dapati mereka telah mengenal hakikat pergaulan secara spontan bahawa masyarakat itu tidak akan wujud kecuali dengan akhlak yang mulia dan budi pekerti yang luhur. Oleh itu, kita dapati mereka banyak menulis bidang yang menyentuh tentang akhlak yang mulia dan budi pekerti yang luhur untuk diwariskan kepada umat yang datang selepas mereka. Mereka menulis dan menyebarkan fikiran yang baik dan dipetik daripada method al-Qur'an dan sunnah Nabi s.a.w. Sesetengah penulisannya berpandukan al-al-Qur'an dan hadith nabi semata-mata seperti Imam Nawawi r.h. Dalam kitab Riadhus Solihin. Sesetengah penulis pula menjadikan al-Quran dan hadith sebagai dasar. Di samping mereka terus menyerikannya dengan pendapat para ulama' salaf dan menyebut beberapa kisah mereka yang boleh membimbing manusia ke jalan yang lurus dan berakhlak mulia.Antara kitab yang juga sering disebut adalah seperti Ihya' Ulumuddin karya Imam al-Ghazali r.h. Sebutan itu kekal hingga kini kerana kandungannya yang baik dan berjaya mendidik manusia ke jalan yang diredhai Allah. Sayangnya sesudah mereka, lahir pula kelompok baru dalam zaman yang serba canggih ini. Mereka mula berkiblat ke Barat, menimba cara dan perjalanan hidup Barat hingga berpecah belahlah mereka dalam beberapa perjalanan dan terkecai oleh pengaruh hawa nafsu. Lalu mereka pun rosak dan merosakkan pula orang ramai dengan pendapat dan pandangan mereka yang menyeleweng itu. Hakikat inilah yang telah dilupai oleh kebanyakan generasi umat masa kini, padahal al-Qur'an telah meletakkan kaedah dalam matlamatnya yang wajar dicontohi untuk mendidik akhlak manusia. Kaedah Sebagai contoh, al-Qur'an menitikberatkan pendidikan melalui kaedah contoh teladan. la merupakan cara yang paling berkesan dan paling hampir kepada kejayaan pendidikan. Allah menggambarkannya melalui kebangkitan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan kepada manusia.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya: 'Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.'
(Surah al-Ahzab : 2 1)


AI-Qur'an juga menggunakan nasihat dan peringatan kepada kebaikan dan kebenaran untuk mendidik manusia. Cara ini digunakan agar orang yang dinasihati dapat diselamatkan daripada kesusahan dan kemudharatan serta dibimbing kepada perkara-perkara yang mendatangkan kesan yang baik dan faedah. la perlu disampaikan dengan ikhlas dan amanah tanpa perlu umpatan keji, carutan dan memaki hamun. Inilah yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

'Tugasku menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah bagi kamu.'
(Surah al-A’raf : 68)


Malahan seluruh isi kandungan al-Qur'an menjadi nasihat bagi orang yang beriman dan bertaqwa. Selain daripada itu al-Qur'an juga dalam mendidik manusia telah menggunakan kaedah secara dorongan dan ancaman kepada manusia.

Dari sudut Taghrib (dorongan), al-Qur'an memberikan galakan atau dorongan untuk manusia melakukan kebajikan. Disebut ganjaran baik kepada mereka yang mengamalkan perkara-perkara kebajikan secara sempurna. Ia berkesan dan menimbulkan keinginan dan perasaan mahu melakukan kebajikan dan menghayati sifat-sifat yang dianjurkan oleh al-Qur'an.

Contohnya Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

'Sesungguhnya orang yang bertaqwa ditempatkan dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tiada taranya).'
(Surah at-Tur: 17)


Firman Allah S.W.T. lagi:

Maksudnya:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa.'
(Surah Ali-Imran : 133)


Sementara itu, daripada sudut Tarhib (ancaman) pula al-Qur'an menggunakan cara ancaman azab seksa yang akan menimpa sesiapa yang tidak mentaati perintah dan suruhan Allah. Cara ini menimbulkan perasaan takut dan cemas seseorang untuk melakukan sesuatu kejahatan kerana bimbang gejala buruk akan menimpanya. Pendekatan begini biasanya digunakan berkaitan dengan sesuatu larangan Allah. Contohnya dalam firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji yang mengumpulkan harta dan menghitungnya. Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesugguhnya dia benar-benar akan dicampakkan ke dalam Neraka Hutamah.'
(Surah al~Humazah: 1-4)


Inilah antara cara atau method yang digunakan dalam al-Qur'an sebagai cara untuk mendidik manusia seluruhnya. Ini kerana manusia dengan segala macam tabiat dan sikapnya perlu dihadapi dengan cara bijaksana. Justeru, bagi pendakwah atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam usaha mendidik, menegur atau menginginkan kebaikan wujud dalam masyarakat, dia perlu meneliti realiti yang terdapat di dunia pada hari ini sama ada ekonominya, politiknya atau hal ehwal kemasyarakatannya. Malahan perlu juga memahami aliran politik dunia moden, gerakan, pemikiran umat Islam, perkembangan setempat, tradisi dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat termasuk nilai dan bahasa masyarakat itu sendiri. Dalam pada itu, suatu aspek yang juga perlu diambilkira adalah dari sudut muslihat musuh-musuh Islam itu sendiri yang sentiasa mencari peluang mengintai sudut-sudut kelemahan yang terdapat pada umat Islam hari ini. Dan apabila kita Ialai, itulah peluang yang terbaik untuk mereka merosakkan umat Islam.Dalam usaha menghadapi masyarakat daripada terus diracuni oleh nilai-nilai yang tidak bermoral dan untuk menjamin mereka supaya tidak tersisih daripada rahmat Allah maka al-Qur'an menggesa mereka supaya mempunyai sifat-sifat da'ie (pendakwah) serta memahami kaedah al-Qur'an. Ini kerana hanya al-Qur'anlah yang dapat menjaga kesatuan ummah serta melindungi ikatan persaudaraan mereka dalam memerangi golongan yang cuba mencantas kemurniaan hidup bermasyarakat.

Kaedah Rasulullah s.a.w. Mendidik Akhlak

Antara tujuan utama Allah mencipta manusia di muka bumi ini adalah untuk beribadat demi kebahagiaan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Firman Allah S.W.T.:

'Dan (ingatlah) Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.'
(Surah az-zariat:56)

Ibadat yang dikehendaki bukan sahaja melakukan ibadah khusus seperti mengerjakan solat lima waktu,berpuasa pada bulan ramadan,menunaikan zakat serta menunaikan ibadat haji di Mekah tetapi merangkumi seluruh aspek kerja manusia bermula daripada bangun tidur hinggalah dia tidur kembali. Tentunya dalam melaksanakan peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah beribadat,manusia berhajat kepada orang yang boleh memberi tunjuk ajar bagaimana hendak melakukannya supaya selari dengan kehendak Allah S.W.T.

Untuk itu,Allah telah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sekaligus menjadi Rasul terakhir kepada seluruh umat manusia yang memiliki contoh teladan yang terbaik dan hanya satu-satunya yang perlu diikuti kerana setiap kesempurnaan yang ada pada dirinya. Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya :

'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah s.a.w. itu contoh teladan yang baik bagi orang yang mengharap(rahmat) Allah dan (kedatangan)Hari Kiamat…'
(Surah al-Ahzab : 21)


Dan ia diperkuatkan lagi dengan Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:

'Bahawasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.'
(Riwayat al-Bukhari,Hakim dan Baihaqi)


Perangai manusia ada yang baik dan ada yang buruk,maka perangai atau akhlak yang baik inilah yang hendak ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w.

1 ulasan:

zizan berkata...

masalah skang nie manusia sume xde iman, cane nk jga ptuturan??

Catat Ulasan

aku harap, sape2 nak bagi komen 2 bagi komen yg beradab k..cz aku xsuka org yg biadap.

Related Posts with Thumbnails

renungan bersama...

kata hikmah sayyidina abu bakar as-siddiq RA


Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, iaitu:
· Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya.
· Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim.
· Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula.
· Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

kata hikmah sayyidina umar al-khattab ra


· Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
· Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
· Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
· Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

kata hikmah sayyidina usman ibnu affan ra

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
· Hatinya selalu berniat suci
· Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
· Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
· Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
· Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

kata hikmah sayyidina ali karamullah hu wajhah ra


· Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.
· Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.
· Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.
· Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifatwarak (memelihara diri dan hati- hati dari dosa).
· Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

· Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.
· Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
· Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.