07 Mac 2010

HUBUNGAN SESAMA MANUSIA






Para Jemaah Yang Terhormat,


Marilah sama-sama kita pastikan diri kita agar tersenarai dalam golongan orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T. dalam erti kata mematuhi perintah Tuhan dan meninggalkan larangan-Nya. Ini kerana cara yang demikian sajalah untuk kita sebagai 
hamba Allah yang tinggal dimuka bumi-Nya dapat hidup dan kita Ialui dengan penuh kenikmatan dan keberkatan. Dengan bertakwa kepada Allah S.W.T. sahajalah kita semua, Insya'Allah dapat mencapai matlamat hidup iaitu keredhaan Allah S.W.T.

Untuk mempastikan diri kita menjadi hamba Allah yang baik atau dengan tepatnya menjadi 'khalifahtullah' di atas muka bumi ini, kesempurnaannya amat bergantung kepada sejauh mana seseorang itu mampu mengharmoniskan hubungannya dengan Yang Maha Pencipta Allah S.W.T. dan juga sejauh mana kemampuan seseorang itu menserasikan hubungannya dengan sesama manusia. Inilah yang menjadi titik tolak dalam kehidupan insan muslim mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T. Inilah yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:

'Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga berbuat baik sesama manusia..'
(Surah Ali-Imran: 112)



Alhamdulillah, agama Islam yang kita anuti ini, begitu prihatin dan telah menyusun adab-adab serta disiplin- disiplin hubungan yang diperlukan sebagai pra-syarat kepada kesempurnaan kita untuk menjadi khalifah Allah S.W.T. Islam telah menyusunnya dengan begitu terperinci satu persatu dengan tujuan mempastikan supaya kehidupan hamba Allah itu berjalan dengan penuh harmoni,dengan penuh selesa,dengan penuh damai dan jayanya. Disusun begitu rupa bermula daripada beberapa adab dan disiplin yang begitu banyak yang antaranya disusun adab-adab berkeluarga, adab-adab kehidupan berumah tangga, adab bersuami isteri dan adab beranak pinak. Ini semata-mata bertujuan agar keluarga itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagaimana yang diungkapkan 'Baiti Jannati',Rumahku Syurgaku. Kemudian disusun pula dengan adab-adab berjiran tetangga atas dasar hormat-menghormati supaya kehidupan sekampung dan sehalaman itu selesa berbahagia agar tidak bersengketa antara satu dengan yang lain. Islam juga tidak cuai dalam menyusun adab dan disiplin hubungan antara sesama umat Islam,yang bermatlamatkan untuk benar-benar dapat merealisasikan apa yang Allah S.W.T. firmankan dalam al-Qur'an:


Maksudnya:

'Sesungguhnya orang yang mukmin itu bersaudara di antara satu dengan yang Lain.'
(Surah al-Hujurat : 10)



Tidak juga dicuaikan oleh Islam di mana disusun adab-adab dan perhubungan antara orang Islam dengan bukan Islam yang berteraskan kemanusiaan sebagai merealisasikan apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T.dalam al-Qur'an;


Maksudnya:

'Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
(Surah al-Hujurat: 13)


Ini telah dijelaskan dalam al-Qur'an. Selain daripada itu, disusun oleh Islam berbagai-bagai adab yang lain hatta adab bertegur sapa, melarang, menasihat dan berdakwah yang semuanya ada disiplin dan ada adab yang telah ditetapkan oleh Islam, supaya dapat dilaksanakan dengan penuh harmonis dan dengan penuh selesa, sehinggakan apabila Allah S.W.T. memerintahkan Nabi Allah Musa a. s. dan Nabi Allah Harun a.s. supaya pergi kepada Firaun dengan firman-Nya:

Maksudnya:

'Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia telah melewati batas kekufurannya. Maka kamu berdua bercakaplah padanya dengan kata-kata yang lemah-lembut mudah-mudahan dia akan ingat dan takut akan Allah S.W.T.'
(Surah Taha: 43-44)


Hingga begitu rupa sekali walaupun Firaun itu memang ternyata kufurnya, memang ternyata tergelincir daripada landasan yang sebenar, tetapi masih lagi dipentingkan adab bagi Nabi Musa a.s. dan Harun a.s.untuk menyeru Firaun supaya kembali ke jalan Allah.

Begitulah pendekatan yang digunakan dalam Islam untuk menserasikan, melunaskan dan mewujudkan keharmonian antara manusia dengan manusia di samping hubungan manusia dengan Allah S.W.T.


Para Jemaah yang terhormat,


Khatib berasa terpanggil untuk menjelaskan perkara ini, kerana terdapat kekeliruan yang diketengahkan di tengah- tengah masyarakat hingga menyebabkan masyarakat terpinga-pinga dan terkeliru dengan beberapa keadaan yang menjejaskan maruah umat Islam dan juga imej Islam itu sendiri. Dikatakan bahawa untuk menyampaikan sesuatu mesej itu, Islam membenarkan kita menggunakan cara yang kasar, cara menggunakan maki hamun, cara menggunakan mencarut atau sebagainya, apakah begitu? Apakah benar begitu? Kalau kita terima kenyataan ini,kalau kita katakan bahawa Islam itu membenarkan cara maki hamun, cara mencarut, atau sebagainya untuk menyampaikan mesej, tidakkah itu bertentangan dan bercanggah dengan nas-nas yang sarih, dengan nusus-nusus Islamiah yang terang, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:

'Dan hendaklah kamu berkata kepada manusia itu dengan kata-kata yang baik (dengan kata-kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati.'
(Surah al-Baqarah : 83)


Ini firman Allah S.W.T, kalau kita terima pandangan bahawa Islam itu membenarkan kita berkasar, kita mencarut, tidakkah itu bertentangan dengan apa yang Nabi kita Muhammad s.a.w. tegaskan dalam hadithnya:

Maksudnya:

'Awasilah kamu kata-kata yang kotor, maka sesungguhnya Allah Ta'ala tidak suka (dalam erti kata benci), dengan kata-kata yang kotor dan mereka yang berperangai kotor.'


Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

Maksudnya:

'Bukankah sebenarnya orang yang beriman,mereka yang mencaci cela dan melaknat yang mengeluarkan kata-kata kotor dan mengeluarkan kata-kata yang hina.'


Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

'Maksudnya:

'Memaki hamun orang mukmin itu, adalah satu perkara yang tergelincir, rosak dan pembunuhannya itu adalah kekufuran.'


Kalau kita terima, Islam itu membenarkan kita berkata sewenang-wenangnya, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Nabi sabda dalam hadithnya:

Maksudnya:


'Berbahagialah mereka yang dapat menahan dan mengawal lebihan daripada lidahnya yang terlampau lancang, hingga mengeluarkan kata-kata yang lucah dan carut marut.'

Kalau kita terima bahawa insan membenarkan dakwaan mengatakan kita boleh berkata sewenang~wenang walaupun dalam bentuk tidak begitu sopan, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi katakan dalam hadith:

Maksudnya:

'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan beriman pada Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata dengan kata-kata yang baik atau kalau tidak dapat melakukannya, lebih baik bendiam sahaja.'


Kalau kita terima bahawasanya kita boleh lakukan carut mencarut, maki hamun dan sebagainya tidakkah bercanggah dengan apa yang Nabi sebutkan dalam hadithnya:

Makksudnya:

'Cukup atau memadai, seseorang itu dikatakan jahat, apabila dia memandang hina, merendah-rendahkan saudaranya Muslim yang Lain.'


Kalau kita terima kenyataan yang seperti itu, tidakkah ia bercanggah dengan hadith Nabi:

Maksudnya:

'Tidak wajar dan tidak harus bagi seseorang mukmin itu memandang saudaranya dengan pandangan yang menyakitkan hati.'


Kalau kita terima juga kenyataan itu, bagaimana pula sabda Nabi kita Muhammad s.a.w.:

Maksudnya:

'Tidak lurus seseorang hamba itu, melainkan lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya melainkan lurus lidahnya dapat memelihara daripada kata-kata yang keji dan tidak masuk syurga seseorang itu yang sentiasa tidak lepas daripada mengganggu gugat jiran tetangganya.'


Inilah para jemaah yang dihormati, akibat atau implikasi andaikata kita terima kenyataan yang sebegitu rupa, yang jelas kelihatan kepada kita merosakkan umat Islam itu sendiri bahkan merosakkan imej Islam itu sendiri.

Para pembaca yang dihormati sekalian ;

Tidak ada salahnya kita berlainan pendapat, tidak ada salahnya kita berbeza pandangan, kerana itu lumrah hidup manusia. Tetapi sejauh mana mampu kita mengendalikan perbezaan itu untuk memastikan ia benar-benar berada dalam keadaan baik, benar-benar diasaskan dengan pertimbangan yang rasional dan benar-benar tidak diruntuni sebarang sentimen. Malah, walaupun berbeza- beza pendapat, hingga kalau perlu kepada perdebatan dan perbahasan pun Islam mengatur disiplinnya. Bukankah Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:

'....Bermujadalahlah, berdebatlah atau berbahaslah kamu dengan mereka itu dengan cara yang lebih jitu yang terlebih baik, yang terlebih lunak... '
(Surah an-Nahl : 125)


Inilah yang harus kita fikirkan kalau kita terima kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan imej umat Islam itu sendiri.

Para Jemaah yang dihormati,


Persoalannya, apakah kita perlu, dalam menyampaikan sesuatu mesej itu, kita mesti mengikut rentak-rentak orang. Apakah untuk menyampaikan satu-satu mesej itu, kita perlu mengikut, meniru cara orang Barat. Orang Barat memanglah hidupnya begitu lepas, tidak tahu dibezakan yang mana baik dan buruknya lagi. Apakah kita perlu meniru begitu kalau kita ingin menyampaikan sesuatu mesej? Maka kita harus tiru mereka, tutur kata lucah mereka, tutur kata yang jijik, tutur kata yang cemar? Kemudian harus dianggap cara itu tinggi nilai seni dan tinggi nilai sastera. Lantas dipertahankan pula, dengan menyatakan, itu adalah cara terbaik oleh kita. Bukankah yang demikian itu hanya memperlihat betapa dalamnya sentimen diri, yang mendorong kepada fanatik atau ta'asub.Harus diingat, apabila sentimen menguasai diri, mata kita akan gelap melihat segala-galanya. Bak kata ungkapan, 'mata musuh gelap menimbang kebaikan, mata kawan buta melihat kesalahan. 'Lantas menghasilkan pula ungkapan 'Perbuatan kita benar belaka, perbuatan orang salah semua'.

Inilah yang harus kita pertimbangkan dan harus kita fikirkan. Khatib menarik perhatian semua ini dengan harapan tidak usah kita tersasul dan tidak usah kita terbabas dan melatah. Sesuatu yang terang bercanggah dengan ajaran Islam kita katakan itu daripada Islam.Janganlah kita termasuk dalam golongan apa yang Allah S.W.T. firmankan:

Maksudnya:

'... Usah memperdagangkan ayat-ayat Tuhan itu dengan begitu murah harganya...'
(Surah al-Baqarah: 41)


Usah diseret Islam menuruti kita. kita harus menuruti Islam. Janganlah semudah itu untuk kita katakan atas nama Islam, boleh segala-gala. Boleh kita lakukan, boleh kita memaki hamun atas nama Islam, boleh kita mencaci atas nama Islam, boleh kita menggelar orang itu dan orang ini dengan berbagai-bagai gelaran yang tidak direlai oleh orang yang empunya diri. Persoalannya, harus kita merenungkan perkara ini. Mana budi bahasa kita, mana sopan santun kita, mana resam timur kita, mana adat Melayu kita, mana budi perkerti kita, mana akhlak kita? Hinggakan bukan sahaja menjatuhkan maruah atau imej kita, malah orang yang bukan Islam pun timbul kekeliruan, apa sudah jadi dengan umat Islam yang dahulunya mengatakan bahawa Islam tidak membenarkan mengeluarkan kata-kata kotor, lucah dan sebagainya tetapi sekarang sudah sebaliknya.

Bukankah ini menimbulkan kekeliruan yang merugikan orang Islam dan agama Islam itu sendiri. Apakah wajar kita samakan carut marut ini dengan firman Allah S.W.T. Apakah benar itu ajaran Islam? Bukankah Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:

'Wahai orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mengeji atau memperolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi orang yang mereka perolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka dan jangan pula wanita-wanita memperolok- olokkan wanita yang lain kerana boleh jadi mereka lebih baik daripada wanita-wanita itu...'
(Surah al-Hujurat : 11)


Inilah yang harus kita fikirkan apa yang Tuhan tarik perhatian kita itu. Apakah sanggup kita tukarkan format tarbiah kita? Rata-rata sejak datuk nenek kita sehingga sekarang mendidik anak-anak kita supaya jangan mengeluarkan kata-kata yang kasar, jangan keluarkan maki hamun. Tersasul dari mulut anak mengeluarkan perkataan yang tak senonohpun, kita cubit mulut anak itu kerana ia tidak wajar diucapkan.

Itu dia format didikan kita, itu dia cara didikan kita. Apakah kita mahu tukarkan pula dengan pendekatan pendidikan atau methodologi pendidikan dengan cara, gaya dan budaya carut mencarut serta maki hamun ini?Inilah yang harus kita renung. Inilah yang harus sama-sama kita fikirkan. Semoga Allah S.W.T. akan memberi taufiq dan hidayah kepada kita kerana kalau cara ini berterusan, cara ini kita amalkan, maka ternyata sekali pemikiran kita sudah gersang. Apabila pemikiran kita sudah gersang, tamadun akan pincang dan akan membawa kita kecundang. Nauzubillahi min zalik.

0 ulasan:

Catat Ulasan

aku harap, sape2 nak bagi komen 2 bagi komen yg beradab k..cz aku xsuka org yg biadap.

Related Posts with Thumbnails

renungan bersama...

kata hikmah sayyidina abu bakar as-siddiq RA


Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, iaitu:
· Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya.
· Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim.
· Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula.
· Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

kata hikmah sayyidina umar al-khattab ra


· Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
· Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
· Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
· Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

kata hikmah sayyidina usman ibnu affan ra

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
· Hatinya selalu berniat suci
· Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
· Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
· Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
· Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

kata hikmah sayyidina ali karamullah hu wajhah ra


· Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.
· Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.
· Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.
· Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifatwarak (memelihara diri dan hati- hati dari dosa).
· Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

· Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.
· Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
· Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.