seorang yang nakal sewaktu remaja |
NAMANYA mula menjadi sebutan pada awal tahun 2005 yang lalu. Najmil Faiz Mohamed Aris membuatkan rakyat negara ini tersenyum bangga apabila menjadi anak Malaysia pertama diberi
penghormatan membentangkan tesisnya di Parlimen Britain. Bukan hanya nama negara dijulang, bahkan kajiannya itu berjaya membuatkan Britain membuka mata tentang kebolehan anak watan negara ini.Para hadirin yang terdiri daripada tetamu terhormat dan saintis di House of Common, London tertarik dengan pembentangan selama 15 minitnya itu. Mungkin tarikan itu datang daripada saiz tubuh yang lebih kecil, tapi hakikatnya, idea penyelidikan anak muda ini begitu mempesona. Kajiannya mengenai teknologi nano dalam kejituan kejuruteraan mendapat pujian Menteri Perindustrian Britain, Dr. Brian Iddon dan dinobatkan sebagai Prospek Terbaik untuk industri pembuatan.
Hebat sekali pencapaiannya. Terpilih sebagai seorang pelajar Asia paling cemerlang, mungkin ramai yang beranggapan dia sememangnya lahir sebagai insan terbilang. Benarkah begitu?
Dibesarkan di Pasir Mas, Kelantan dalam keluarga sederhana, dia merupakan pelajar sekolah yang nakal di sekolah dan pernah memakai tali rapia pada kasut sekolah. Lebih teruk daripada itu, dia turut terjerumus ke dalam kancah mat rempit jalanan.
Kerana sikapnya yang nakal dan culas, akibatnya, dia memperoleh pangkat 3 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilabel ramai sebagai satu kegagalan.
“Kegagalan itu menjadi kaunselor hidup saya. ‘Dia’ membantu saya bangkit dan sentiasa di sisi untuk ‘memukul’ saya bagi meneruskan perjuangan,” katanya ketika dihubungi KOSMO! baru-baru ini. Najmil, 28, kini menuntut di Brunel London University dalam pengajian ijazah doktor falsafah. Selain telefon, emel juga menjadi penghubung di antara penulis dan Najmil bagi menyediakan bahan artikel ini.
Menyorot zaman ‘nakalnya’ dahulu, Najmil berkata, sejak di sekolah rendah lagi, dia minat bertukang dan mengubah suai basikal. Keadaan tersebut berlarutan ketika di peringkat sekolah menengah.
“Nama pun budak sekolah vokasional. Kalau dulu basikal... kini motosikal menjadi sasaran saya. Sikit sebanyak ilmu automotif yang diterima oleh saya dan kawan-kawan di sekolah telah dicampur dengan kreativiti sendiri untuk memperbaharui prestasi motor.
petah berpidato |
“Namun, kebolehan yang ada disalah guna dengan menguji hasilnya di jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan diri. Inilah masa untuk menguji sejauh mana lajunya motor kita dengan motor orang lain. Saya pernah terlibat dengan kemalangan tetapi tidaklah cedera teruk,” katanya.
Selepas ‘terkandas’ dalam peperiksaan SPM, dia bekerja sebagai pembantu pam minyak berhampiran rumah. Ejekan dan sindiran sinis daripada kawan-kawan serta ada yang ‘buat-buat seperti tidak mengenalinya’ membuatkan dia berasa perit dengan kegagalan. Dia mula sedar untuk menjadi lebih baik dan bertekad untuk ‘berhijrah’ menjadi insan berjaya.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang mengejek saya gagal kerana ungkapan itu tidak melemahkan saya malah membakar semangat saya untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk menjadi seperti hari ini,” ujarnya.
Perjalanan untuk bangkit tidaklah semudah itu. Dia kemudian memohon masuk ke sebuah institut pengajian tinggi swasta di Damansara, Kuala Lumpur dalam pengajian berkembar luar negara bagi kejuruteraan mekanikal. Bagaimanapun, keputusannya tidak memuaskan sekali gus memadam hasratnya untuk mendapatkan tajaan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
sewaktu menerima anugerah terbilang daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi |
Namun, dia tidak berputus asa. Dia memilih jalan sukar untuk masuk ke Leeds Metropolitan University, Britain. Dia berusaha mengumpul wang sebanyak yang termampu dengan bekerja di sebuah syarikat antarabangsa di Damansara. Berbekalkan duit gaji itu serta pinjaman bank yang dijamin oleh bapanya yang berpendapatan sederhana, cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut tercapai.
“Di sana, saya bekerja keras untuk hidup. Wang perlu dicari sendiri untuk membayar yuran universiti, sewa rumah, buku dan sebagainya. Saya bekerja dan dalam masa yang sama, tekun belajar. Hanya belajar dan bekerja menjadi rutin harian hidup saya. Tidak ada masa untuk berehat, melepak atau berhibur.
“Macam-macam kerja saya buat. Mengangkut barang, mencuci bangunan dan longkang serta membersihkan stadium. Kadang-kadang sampai tiga kerja sehari. Saya lihat, pelajar yang mendapat tajaan pun terpaksa bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan. Bermakna saya yang datang tanpa tajaan perlu bekerja lebih kuat lagi!
“Tetapi, saya tidak pernah ‘tuang’ kelas. Rasa takut pada kegagalan adalah penawar kepada keletihan. Perpustakaan menjadi rumah kedua saya dan saya ‘membesar’ di perpustakaan universiti sehingga dikenali oleh semua kakitangannya,” ujarnya.
Akhirnya, berkat kesungguhannya, dia berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan pembuatan dengan cemerlang dan penyelianya mencadangkannya untuk meneruskan pengajian ke peringkat doktor falsafah.
Belajar daripada kegagalan, Najmil berkata kegagalan dalam liku-liku perjalanan hidup adalah untuk mematangkan diri seseorang.
“Gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selamanya. Prinsip hidup saya adalah selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Jika orang lain boleh melakukannya, kita juga pasti boleh melakukanya,” tuturnya.
Dia sememangnya menanam cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke luar negara kerana melihat keperluan berhijrah ke tempat lain.
“Ia untuk mengeluarkan diri kita dari zon selesa yang menyebabkan kita kurang sifat cekal. Apabila kita berada di tempat orang, kita terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti budaya, bahasa pertuturan dan layanan yang berbeza. Semua ini akan menguatkan semangat dan membuatkan kita berfikir lebih matang dan pantas,” ujarnya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Isteri dan anaknya menemaninya di London.
Mengenai perkembangan terbaru, katanya, dia telah dilamar oleh beberapa syarikat swasta di negara-negara Eropah untuk bekerja dalam pelbagai industri yang berkaitan serta meneruskan kajian dalam bidang kejuruteraan pembuatan.
“Tetapi, saya rasa, saya mahu pulang ke tanah air dan berbakti. Apa yang pasti, tawaran yang diperoleh menunjukkan bahawa Eropah benar-benar mengiktiraf hasil kerja saya.
bersama orang tersayang |
“Bisikan peringatan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menerima Anugerah terbilang di Kuala Lumpur dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menerima Anugerah Gemilang di Manchester sentiasa bermain di minda agar terus memartabatkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Ditanya apakah pesanannya kepada remaja Malaysia, dia menasihati remaja supaya memikirkan kesan pada masa depan sebelum melakukan sesuatu perkara.
“Mereka perlu mula dari sekarang untuk merancang rangka perjalanan bagi menjayakan cita-cita. Jika mereka tahu mengatur hala tuju dan cita-cita, maka mereka akan sedar bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk dibuai dengan perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.
Ingin tulis buku lagi
SETELAH tampil dengan buku Meniti Puncak Antara Realiti & Fantasi dan versi Inggeris, Towards Greater Height pada tahun lalu, Najmil Faiz Mohamed Aris menyatakan kepada KOSMO! hasratnya untuk terus menulis buku.
“Saya masih ingin menulis buku. Sekarang pun, saya sedang menulis dan sudah menyiapkan satu buku panduan untuk belajar dan bekerja di luar negara. Saya juga sedang mengumpul pengalaman orang-orang Melayu yang berjaya di United Kingdom untuk dikongsi bersama,” ujarnya.
Dia amat berterima kasih kepada penaja bukunya iaitu Puncak Niaga, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pengajian Tinggi. Katanya, sebanyak 150,000 naskhah telah dicetak dan diedarkan secara percuma di seluruh negara. Pada masa sekarang, masih ada permintaan untuk dicetak semula sebanyak 50,000 naskhah.
ingin terbitkan lagi buku |
“Saya berharap buku yang telah dan akan diterbitkan dapat memimpin dan membimbing pelajar sekali gus menyuntik semangat mereka agar berusaha keras untuk berjaya,” katanya yang gembira untuk turun padang melakukan siri motivasi bagi membimbing dan menyuntik semangat generasi muda untuk berusaha memartabat nama Malaysia di mata dunia.
Ditanya apakah matlamatnya yang masih belum tercapai, dia yang selayaknya diangkat menjadi idola remaja berkata, masih banyak lagi impiannya yang belum terlaksana.
“Saya ingin kormersialkan hasil-hasil penyelidikan yang boleh menyumbang dan membangunkan ekonomi negara,” ujarnya yang juga ingin menubuhkan kelab peminat bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan dan melakukan program bersamanya.
sumber : kosmo
2 ulasan:
oghe kelate meme hebat2 blako..
kemah keming sep kito
Catat Ulasan
aku harap, sape2 nak bagi komen 2 bagi komen yg beradab k..cz aku xsuka org yg biadap.